UNIT KAUNSELING

1.0    PENGENALAN

Unit Kaunseling dan Bimbingan di IKM merupakan unit sokongan di bawah kawalan Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar).  Unit ini ditadbir urus oleh Pegawai Bimbingan Kaunseling atau Kaunselor yang terlatih dalam bidang kaunseling, bimbingan dan konsultasi psikologi dari institut pendidikan kaunselor di dalam dan luar negara.  Semenjak diwujudkan pada tahun 2004 unit ini telah melalui pelbagai proses peningkatan termasuk prosedur operasi, tanda aras kualiti, fokus perkhidmatan dan sebagainya.  Bersesuaian dengan perubahan yang berlaku, suatu panduan perkhidmatan diwujudkan bagi menyelaras peranan Pegawai Bimbingan Kaunseling atau kaunselor serta Unit kaunseling dan Bimbingan di KKTM dan IKM seluruh negara.  

 

2.0    OBJEKTIF PERKHIDMATAN

  1. Melaksanakan perkhidmatan kaunseling, bimbingan dan konsultasi psikologi bertujuan meningkatkan tahap kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

  2. Melaksanakan perkhidmatan klinikal secara individu atau kelompok untuk pelajar yang mematuhi peraturan dan etika amalan kaunseling yang ditetapkan.

  3. Melaksanakan aktiviti bimbingan bertujuan membantu pelajar meneroka isu-isu berkaitan perkembangan personaliti, akademik, kerjaya dan lain-lain.

  4. Melaksanakan aktiviti konsultasi psikologi bagi membantu pelajar meningkatkan kualiti hasil pendidikan yang diperoleh dari KKTM dan IKM. 

  5. Melaksanakan program-program yang berteraskan aplikasi psikologi untuk manfaat pelajar. 

 

3.0    PERANAN PEGAWAI BIMBINGAN KAUNSELING/KAUNSELOR IKM

 

         3.1    PERKEMBANGAN PERSONALITI

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor boleh membantu pelajar membentuk personaliti yang sihat dan juga boleh membimbing pelajar supaya menimbulkan perasaan dan kepercayaan diri mereka diperlukan dan dihargai.  

  • Pegawai Bimbingan Kaunseling/Kaunselor boleh memberi perkhidmatan kaunseling secara individu ataupun berkelompok supaya pelajar dapat memperbaiki keadaan diri dan mendapat keselesaaan emosi melalui sesi kaunseling yang diberi.  Butiran sesi kaunseling adalah dikategorikan sebagai maklumat sulit seperti yang dinyatakan dalam Perkara B.1.c Kod Etika Lembaga kaunselor.  Bagi menghormati amalan kerahsiaan, kaunselor tidak boleh berkongsi maklumat sesi kaunseling tanpa persetujuan klien atau tanpa justifikasi etika atau undang-undang yang mantap.  Walaubagaimanapun, klien akan dimaklumkan mengenai batasan kerahsiaan dan mengenalpasti situasi yang membenarkan kerahsiaan didedahkan.  Kelonggaran ini termasuklah apabila isu yang dibawa oleh klien melibatkan unsur-unsur ancaman yang nyata dan membahayakan klien atau orang lain, keperluan obligasi kepada undang-undang tertentu, risiko penyebaran penyakit berjangkit dan risiko nyawa serta perintah pihak mahkamah.  

 

         3.2    PERKEMBANGAN PEMBELAJARAN

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor membatu pensyarah dan pelajar menjaga kedudukan akademik bagi memperoleh pencapaian yang setaraf dengan keupayaan akademik pelajar.  

 

        3.3    PENYESUAIAN DIRI

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor membimbing pelajar baharu supaya dapat menyesuaikan diri di KKTM dan IKM.

 

       3.4    PENTADBIRAN DAN PENYIMPANAN REKOD

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor menyedia dan menyimpan rekod-rekod sesi kaunseling individu dan kelompok, laporan kaunselor untuk kes-kes tataertib, laporan bulanan UKB dan laporan yang berkaitan.

 

       3.5    KAJIAN PERKEMBANGAN EMOSI PELAJAR

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor menjalankan kajian berhubung perkembangan emosi pelajar.

 

      3.6    KONSULTASI

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor berperanan sebagai pakar rujuk atau pakar runding kepada pelajar dalam hal-hal perkembangan personaliti, tingkah laku, komunikasi, keluarga, pembangunan psikologi individu dan proses kaunseling. 

 

     3.7    HUBUNGAN DENGAN AGENSI LUAR

  • Pegawai Bimbingan kaunseling/Kaunselor mewujudkan jaringan kerjasama dengan agensi luar seperti agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk meningkatkan potensi pelajar melalui pelaksanaan pelbagai program.  

 

 

HUBUNGI KAMI                                              

Institut Kemahiran MARA Besut

Jalan Batu Tumboh, Alor lintang 

22200 Besut 

Terengganu Darul Iman

 

  09 6957244      

  09 6958795     

 FAKS : 09 6957326

PAUTAN PANTAS                                              

 

PORTAL MARA

PORTAL MARANET

PORTAL KPLB

PORTAL GMI

PORTAL GIATMARA

PORTAL UNIKL

FAQ